Monday, October 25, 2010

Budaya Minum Tapai


Masyarakat etnik di Sabah, khususnya Kadazandusun mempunyai sejarahnya tersendiri dari segi adat-istiadat, pantang-larang, pakaian tradisional, makanan dan sehinggalah meminum tapai. Amalan budaya turun temurun daripada nenek moyang ini menjadi ikutan sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, budaya untuk memenggal kepala manusia sudah dihapuskan. Ini berikutan zaman sudah pun berubah dan pengembangan agama di kalangan masyarakat Kadazandusun menyedarkan mereka bahawa budaya `potong kepala’ adalah salah disisi undang-undang dan tidak boleh diamalkan lagi. Justeru itu, ramai masyarakat kadazandusun mengambil keputusan untuk menguburkan tengkorak-tengkorak yang selama ini diletakkan di atas pintu masuk rumah. Ada juga yang diambil oleh pihak Muzeum Sabah bagi tujuan tatapan genarasi muda sebagai satu bahan sejarah. Sabah sememangnya kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Tradisi minum tapai bukan sahaja menjadi kegemaran oleh suku kaum kadazandusun tetapi juga kaum Murut. Cara-cara membuat tapai hampir sama, tetapi dari segi adat istiadat mempunyai perbezaan yang ketara.

Kajian tugasan ini hanya memfokuskan budaya minum tapai di kalangan masyarakat kadazandusun di salah sebuah kampung dalam daerah Papar. Kampung yang di pilih ialah Kg. Langsat, Batu 6, Papar iaitu lebih kurang 9 kilometer dari Pekan Papar dan 49 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Kampung yang dikaji ini, di diami oleh 98% masyarakat Kadazandusun dan 1% kaum Cina. Penduduk disini adalah penganut agama Roman Catholic, Buddha dan Islam. Penganut majoriti ialah penganut Catholic dengan 98 peratus. Budaya minum tapai masyarakat Kadazandusun di kampung ini tidak mengambarkan keseluruhan masyarakat Kadazandusun di daerah-daerah lain di Sabah. Ini kerana terdapat perbezaan budaya minum tapai dan cara-cara membuat tapai di daerah-daerah yang lain.

Budaya (culture) bermaksud cara hidup manusia. Ia merupakan satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Perkara ini dapat dilihat melalui etimologi perkataan "budaya" yang bermaksud " budi + daya "; yakni budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai, manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan. Maka pada kesimpulannya, budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain.

Kadazandusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma

Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Kadazandusun terdiri dari 40 etnik iaitu Bonggi, Lundayo, Sukang, Bundu, Makian, Sungei, Dumpas, Malapi, Tatana, Gana, Mangkaak, Tangara, Garo, Minokok, Tidong, Ida’an, Murut, Tindal, Kadayan, Nabai, Tobilung,
Kimaragang, Paitan, Tolinting, Kolobuan, Pingas, Tombonuo, Kuijau, Rumanau, Tuhawon
Lingkabau, Rungus, Tutung, Liwan, Sinobu, Bisaya, Lobu, Sinorupu, Lotud dan Sonsogon

Sumber : http://kdca.org.my/about/kadazandusun

No comments:

Post a Comment